Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
GYEONGJU, REPUBLIK KOREA, Jumaat, 31 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Luong Chuong yang berlangsung di Gyeongju Hwabaek International Convention Center (HICO), hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Dalam perjumpaan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan Perkongsian Komprehensif yang kukuh dalam bidang perdagangan, tenaga dan pertukaran antara rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Sosialis Viet Nam, dengan hubungan perdagangan khususnya dalam akuakultur dan kerjasama halal, diperkukuhkan lagi oleh Pelan Tindakan.
Usaha sama dalam sektor tenaga berjalan dengan baik, oleh itu, baginda mengalu-alukan untuk aktiviti penerokaan minyak dan gas dipertingkatkan.
Baginda seterusnya menzahirkan ucapan tahniah kepada Republik Sosialis Viet Nam atas pemilihan semulanya ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB (2026-2028) dan yakin bahawa Republik Sosialis Viet Nam akan menyumbang kepada perlindungan hak asasi manusia.
Perbincangan juga merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Hubungan dua hala antara NBD dan Republik Sosialis Viet Nam adalah menyeluruh dan berkepentingan bersama. Hubungan diplomatik telah ditubuhkan pada 29 Februari 1992 dan telah dinaik taraf kepada Perkongsian Komprehensif pada tahun 2019.